Sunday, March 15, 2026

Belajar Bahasa Melayu Tanpa Rasa Bosan

Ada yang kata tak suka belajar BM sebab bosan. Apakah penyebab bosan itu? Cikgu yang mengajar anda atau diri sendiri yang tidak mahu tumpukan perhatian ketika guru mengajar?

Semasa saya bersekolah dahulu, pernah juga terlintas persoalan yang sama dalam ruang minda. Ada waktunya saya rasa sesuatu topik itu membosankan. Ada masanya pula mata sudah mula melilau ke luar tingkap walaupun guru masih rancak mengajar di hadapan.

Lama-kelamaan saya sedar bahawa Bahasa Melayu sebenarnya cukup menarik untuk diterokai jika kita menerimanya dengan hati terbuka.

Bahasa bukan sekadar buku teks, latihan tatabahasa dan karangan yang perlu disiapkan. Bahasa ada cerita, ada permainan, ada kreativiti dan paling penting, bahasa ada kaitan dengan kehidupan kita setiap hari.

Jadi, bagaimana kita boleh belajar Bahasa Melayu tanpa rasa bosan?

1. Murid perlu belajar dengan rasa ingin tahu

Belajar tidak semestinya bermula dengan soalan, “Apa yang cikgu suruh buat?”

Kadang-kadang, ia boleh bermula dengan soalan, “Kenapa?”

Kenapa perkataan ini dieja begini?

Kenapa kita menggunakan di dalam ayat tertentu tetapi di- pada perkataan yang lain?

Kenapa satu perkataan boleh membawa maksud yang berbeza apabila digunakan dalam konteks yang berlainan?

Apabila murid mula bertanya, pembelajaran menjadi lebih hidup.

Jangan hanya menunggu guru memberikan jawapan. Cuba cari, cuba teka, cuba bincangkan dan cuba gunakan perkataan yang dipelajari dalam ayat sendiri.

Rasa ingin tahu menjadikan kita bukan sekadar menerima ilmu, tetapi turut menerokainya.

Dan percayalah, perkara yang kita temui sendiri selalunya lebih mudah melekat dalam ingatan.

2. Guru pula perlu mempelbagaikan cara mengajar

Pada masa yang sama, guru juga mempunyai peranan yang besar.

Tidak semua pembelajaran perlu berlaku dengan murid duduk diam, membuka buku dan menyalin nota.

Kadang-kadang, satu permainan bahasa boleh membuatkan murid lebih fokus.

Kuiz tatabahasa, teka perkataan, lakonan, bercerita, perbincangan berkumpulan, aktiviti mencari kesalahan dalam ayat atau pembinaan ayat berdasarkan gambar — semuanya boleh dijadikan ruang untuk murid belajar.

Murid mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang belajar tatabahasa ketika mereka sedang berlumba menjawab kuiz.

Mereka mungkin tidak sedar bahawa mereka sedang membina kosa kata ketika sedang bermain teka perkataan.

Itulah antara keindahan pembelajaran.

Belajar tidak semestinya kelihatan seperti belajar.

3. Murid perlu berani menggunakan Bahasa Melayu

Satu lagi perkara yang sering membuatkan murid kurang seronok belajar bahasa ialah takut melakukan kesalahan.

Takut salah sebut.

Takut salah eja.

Takut ayat tidak gramatis.

Takut kawan ketawa.

Akhirnya, lebih selesa diam.

Sedangkan kesalahan ialah sebahagian daripada proses belajar.

Kalau tersalah sebut, cuba lagi.

Kalau tersalah bina ayat, betulkan.

Kalau kosa kata masih sedikit, baca dan tambah sedikit demi sedikit.

Bahasa hanya akan menjadi lebih dekat dengan kita apabila kita menggunakannya.

Jangan tunggu sehingga Bahasa Melayu kita sempurna untuk mula bercakap.

Gunakan dahulu. Betulkan kemudian.

4. Guru perlu mewujudkan kelas yang membuatkan murid mahu mengambil bahagian

Bagi saya, kelas Bahasa Melayu yang menyeronokkan bukanlah kelas yang sentiasa riuh.

Sebaliknya, kelas yang baik ialah kelas yang membuatkan murid mahu terlibat.

Murid berani mengangkat tangan.

Murid mahu menjawab.

Murid tidak takut apabila jawapannya salah.

Murid sanggup mencuba walaupun belum yakin.

Guru boleh mewujudkan suasana ini dengan memberikan pujian, membina keyakinan murid dan memberi peluang kepada semua murid untuk terlibat mengikut kemampuan masing-masing.

Tidak semua murid perlu menjadi yang paling cepat menjawab.

Ada murid yang memerlukan masa.

Ada yang lebih selesa menulis dahulu sebelum bercakap.

Ada yang lebih menyerlah apabila diberikan peluang bekerja dalam kumpulan.

Tugas guru adalah mencari ruang supaya setiap murid mempunyai peluang untuk menikmati pembelajaran.


Jadi, siapa sebenarnya yang menyebabkan BM menjadi bosan?

Mungkin soalan itu tidak sepatutnya ditujukan kepada guru sahaja.

Dan tidak juga kepada murid sahaja.

Pembelajaran ialah perjalanan yang dilakukan bersama.

Guru perlu mencari cara untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik, manakala murid pula perlu membuka ruang dalam diri untuk menerima dan menikmati ilmu.

Kerana walau sehebat mana pun aktiviti yang dirancang oleh guru, jika murid memilih untuk tidak memberikan perhatian, pembelajaran tetap sukar berlaku.

Begitu juga sebaliknya.

Murid mungkin datang ke kelas dengan semangat yang tinggi, tetapi jika kaedah pengajaran tidak sesuai, minat itu boleh perlahan-lahan hilang.

Akhirnya, guru dan murid mempunyai peranan masing-masing.

Bahasa Melayu sebenarnya tidak membosankan.

Mungkin kita yang belum menemukan cara untuk menikmatinya.

Dan mungkin juga, tugas kita sebagai guru bukan sekadar mengajar murid supaya pandai Bahasa Melayu, tetapi membantu mereka menemukan sebab untuk menyukai Bahasa Melayu.

Kerana apabila sudah suka, kita akan mula membaca.

Apabila sudah membaca, kita akan mula mengenal lebih banyak perkataan.

Apabila semakin banyak perkataan yang kita kenal, kita akan lebih yakin untuk bercakap dan menulis.

Dan akhirnya, apa yang dahulu dianggap membosankan mungkin menjadi sesuatu yang kita nikmati.


Sunday, February 22, 2026

Bila “Baring” Jadi “Baling”: Sebutan Memainkan Peranan dalam Pembelajaran Bahasa Melayu

“Cikgu, saya nak baling.” Ujar salah seorang murid saya.

Saya terus menoleh ke arah murid itu.

“Baling apa?” tanya saya.

“Baling… atas kerusi, cikgu.” Wajahku sedikit berkerut lalu bertanya,

“Awak nak baling atau baring?” Murid itu diam seketika sebelum menjawab,

“Baring, cikgu.”

Ohhhhhhhh!

Rupanya dia nak cakap “baring”, tetapi disebutnya “baling”.

Sebutan bukan sekadar cara kita menyebut sesuatu perkataan. Sebutan juga berkait rapat dengan cara memahami, menggunakan dan menyampaikan bahasa.

Bila satu bunyi mengubah perkataan

Dalam Bahasa Melayu, terdapat banyak perkataan yang kelihatan hampir sama dari segi bunyi, tetapi sebenarnya mempunyai maksud yang berbeza.

Contohnya:

baring – meletakkan tubuh dalam keadaan mendatar
baling – melemparkan sesuatu

Hanya satu bunyi yang berubah, tetapi maksudnya sudah jauh berbeza.

Begitu juga dengan beberapa perkataan lain:

paku dan palu?
berasa dan terasa?

Kadang-kadang kesilapan sebutan berlaku kerana murid belum benar-benar peka terhadap bunyi dalam perkataan. Mereka mungkin mengenali perkataan itu apabila melihatnya dalam buku, tetapi apabila perlu menyebutnya, mereka masih keliru.

Di sinilah guru perlu memainkan peranan.

Murid mungkin tahu perkataan, tetapi belum tahu menyebutnya dengan tepat

Ada murid yang boleh membaca perkataan “baring” apabila perkataan itu ditulis di papan putih.

“Ba-ring.”

Tetapi apabila bercakap secara spontan, perkataan itu boleh berubah menjadi “baling”.

Ini menunjukkan bahawa penguasaan bahasa bukan hanya tentang boleh membaca atau boleh menulis.

Murid juga perlu belajar mendengar dan menyebut.

Keempat-empat kemahiran ini : mendengar, bertutur, membaca dan menulis saling berkait.

Jika murid kurang peka terhadap bunyi, mereka mungkin membawa kesalahan tersebut ke dalam pertuturan. Dalam sesetengah keadaan, kekeliruan itu juga boleh mempengaruhi penulisan mereka.

Jadi, bagaimana guru boleh membantu?

Saya percaya pembetulan sebutan tidak semestinya perlu dilakukan dengan cara yang terlalu formal.

Kadang-kadang, permainan kecil dalam kelas sudah cukup.

Contohnya, saya boleh sebut:

“Baring!”

Murid perlu menunjukkan gaya baring.

Kemudian saya sebut:

“Baling!”

Murid pula perlu membuat gaya membaling.

Mereka akan ketawa apabila menyedari bahawa hanya satu bunyi yang berubah, tetapi perbuatannya juga berubah.

Daripada situ, murid bukan sahaja mendengar perkataan, malah mereka mengaitkan bunyi dengan maksud.

Aktiviti seperti ini boleh dilakukan menggunakan pasangan perkataan yang hampir sama bunyinya. Guru boleh menyebut, murid mendengar, kemudian murid memilih perkataan atau gambar yang betul.

Mudah, tetapi berkesan.

Jangan terus kata “salah”

Satu perkara yang saya cuba lakukan apabila membetulkan sebutan murid ialah tidak terus berkata,

“Salah!”

Sebaliknya, saya ulang semula perkataan itu dengan sebutan yang betul.

“Baring?”

Kemudian saya minta murid mengulang.

“Baring.”

“Sekali lagi.”

“Baring.”

Pembetulan secara berulang dan santai dapat membantu murid mendengar perbezaan bunyi tersebut tanpa berasa malu kerana melakukan kesalahan.

Bagi saya, kesalahan sebutan dalam kelas bukan sesuatu yang perlu ditertawakan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi bahan pembelajaran.

Bahasa Melayu bukan sekadar tentang jawapan betul

Kadang-kadang kita terlalu fokus kepada jawapan yang betul dalam buku latihan.

Murid perlu mengeja dengan betul.

Murid perlu membina ayat dengan betul.

Murid perlu menjawab soalan dengan betul.

Namun, sebelum semua itu berlaku, ada satu perkara yang tidak boleh kita abaikan — bagaimana mereka mendengar dan menyebut bahasa tersebut.

Apabila murid semakin peka terhadap bunyi, mereka akan lebih mudah membezakan perkataan, memahami maksud dan menggunakan perkataan dalam situasi yang betul.

Sebab itulah saya melihat insiden kecil seperti “baring” menjadi “baling” bukan sekadar kesalahan sebutan.

Ia adalah satu peringatan bahawa dalam pembelajaran Bahasa Melayu, setiap bunyi mempunyai peranan.

Kadang-kadang, hanya satu bunyi yang berubah.

Tetapi daripada “baring” menjadi “baling”, kita belajar bahawa dalam Bahasa Melayu, cara kita menyebut sesuatu perkataan boleh mengubah maksud yang ingin kita sampaikan.

Dan mungkin selepas ini, apabila saya terdengar murid berkata,

“Cikgu, saya nak baling atas kerusi…”

Saya sudah tahu untuk bertanya dahulu:

“Baling… atau baring?” 😄


Sunday, January 4, 2026

Daripada Karangan kepada Kenangan: Kisah Seorang Murid Bernama Jia Xin

​Tahun lepas, ada beberapa orang murid Tahun 4 saya sering bertanya dengan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.

Setiap kali saya hendak menghulurkan kertas peperiksaan, pasti ada yang bertanya,

“Cikgu, siapa murid cikgu yang selalu dapat markah paling tinggi?”

“Mesti Lam Zhe You.”

“Haaa… Ong Ze Jing.”

Nama senior-senior yang pernah mereka kenali disebut satu persatu. Tidak dinafikan, murid-murid tersebut memang mempunyai penguasaan Bahasa Melayu yang sangat baik.

Namun, ada seorang gadis ini yang hampir setiap kali peperiksaan memperoleh markah tertinggi. Ditambah dengan kemahiran berbahasa yang cemerlang.

Selalu juga berpesan kepada murid-murid lain,

“Nanti boleh baca karangan Jia Xin sebagai rujukan ya.” 

Ya. Ada yang baca dan mereka turut tertarik dengan gaya penulisan gadis ini. Nak menulis yang sebaik itu mungkin agak sukar. Namun jika ada keinginan untuk terus memperbaiki gaya penulisan juga sudah cukup baik.

Saya coretkan di sini sedikit sebanyak gaya pembelaran gadis ini supaya menjadi teladan kepada murid-murid lain juga :

1. Gemar menulis untuk melatih kemahiran bahasa
Jia Xin tidak hanya menulis apabila diberi tugasan, tetapi menjadikan menulis sebagai satu latihan untuk mengukuhkan penguasaan bahasa.

2. Menyalin nota dan isi-isi penting untuk memudahkan pemahaman
Rajin mencatat perkara penting supaya lebih mudah mengingati dan memahami isi pelajaran.

3. Sentiasa menambah kosa kata baharu
Setiap kali jumpa perkataan yang tidak difahami, dia akan bertanya atau mencari maksudnya dan cuba menggunakan perkataan itu dalam ayat.

4. Berani bertanya apabila tidak memahami sesuatu
Dia tidak malu untuk mengangkat tangan dan bertanya, kerana baginya lebih baik bertanya daripada terus tidak faham.

5. Tidak mudah berputus asa dan sentiasa mahu memperbaiki diri
Jika ada kesalahan, dia ambil sebagai peluang untuk belajar, bukan sebagai alasan untuk mengalah.

6. Berusaha mengelakkan pengulangan kesalahan yang sama
Kesalahan lama dijadikan pengajaran supaya tidak diulang dalam tugasan seterusnya.

Saya suka nak kongsi tentang gadis ini kerana saya sebagai guru juga banyak belajar daripada dirinya.

Lagi satu, setiap kali nak buat sesuatu mesti dia akan minta kebenaran, 

Sebelum tamat tahun persekolahan, dia datang kepada saya dan berkata,

“Cikgu, bolehkah kita ambil gambar sebagai kenang-kenangan bersama-sama?”

“Tentulah boleh, awak.” Tak yah ditanya dik, meh cikgu snap satu kali.


Kuiz Tatabahasa: Belajar, Berfikir dan Bersaing

Oleh : Aishah Jamal Sekolah telah mengadakan Pertandingan Kuiz Tatabahasa yang melibatkan murid-murid Tahap 2. Kuiz ini diadakan bagi meng...