Thursday, June 3, 2021

Hi, saya Cikgu Aishah. Salam perkenalan

Assalamulaikum dan selamat sejahtera semua. 

Saya, Aishah Jamal merupakan seorang guru yang bertugas di SJK(C) Thai Hong Skudai. Di sekolah, ada murid yang panggil saya Cikgu, Teacher, Laoshi pun ada juga. Saya terima panggilan itu seadanya. Saya tahu lama-lama mereka akan faham sendiri. Majoriti murid-murid panggil saya dengan panggilan "Cikgu". Lama kelamaan,yang lain pun  mula ikut juga. 

Saya posting di sekolah ini pada pertengahan tahun lepas, Jun 2020. Hari pertama saya datang ke sekolah, saya berjumpa dengan  Guru Besar, Guru-Guru Penolong Kanan dan AKP. Ketika itu, PKP 1.0. Nanti saya akan ceritakan pengalaman pertama saya datang ke sekolah baharu.

Sebelum saya bergelar guru di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), saya mengajar di sebuah sekolah swasta di Shah Alam. Saya mula berkhidmat pada pertengahan tahun 2018 hingga awal tahun 2020. Hampir 2 tahun juga saya mengajar di situ. Awal tahun 2020, saya dapat tawaran mengajar di KPM. Berat rasanya untuk meninggalkan sekolah SRIP. Banyak kenangan indah sepanjang saya mengajar di situ.

Bagaimana saya dapat jadi guru di KPM? Sebetulnya, saya tiada ihtisas pendidikan. Pada akhir tahun 2019, Pihak KPM memberi peluang kepada graduan yang tiada ihtisas pendidikan menjadi guru melalui program "GURU INTERIM". Saya dapat peluang berkhidmat sebagai guru melalui program ini. Perasaan bila berjaya temuduga dan bakal diberi penempatan memang membuatkan saya hampir melompat juga. Syukur tak terhingga. Berkat doa ibu bapa serta orang sekeliling akhirnya impian saya tercapai.

Tamat SPM, saya memang tekad nak jadi seorang guru bahasa Inggeris. Saya ingat lagi dibantu oleh Cikgu Jalaludin , Kaunselor SMK Pekan Bharu. Beliau bantu kami pilih bidang yang sesuai untuk kami sambung belajar. Saya mohon Asasi TESL sebagai pilihan pertama. Alhamdulillah selepas ditemuduga, saya dapat menjadi salah seorang pelajar di UiTM Shah Alam dalam bidang ini.

Namun, nasib tidak menyebelahi saya tidak dapat menyambung Ijazah dalam bidang yang sama oleh sebab keputusan yang tidak memberangsangkan. Hati ini tetap bersyukur kerana dapat sambung belajar dalam bidang Bahasa Melayu Komunikasi Professional juga di UiTM Shah Alam. Takdir saya menjadi guru dengan cara yang berbeza. Sungguh, Allah merancang dengan penuh kasih sayang. 

Sekarang saya nak cerita pengalaman saya dalam bidang penulisan. Sebenarnya, saya sudah mula tulis blog sejak  tamat belajar di peringkat Ijazah. Malangnya, saya tidak konsisten, selalu sangat culas untuk terus menulis di platform ini. Sekarang, saya tekad nak cuba sedaya upaya untuk berkongsi pandangan dan pengalaman kepada mereka yang berkongsi minat yang sama.

Saya minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi. Mula menulis dalam diari. Bukan itu sahaja, saya siap tulis novel cinta merapu berdasarkan lagu "Love Story" dendangan Taylor Swift. Lagu itu menjadi fenomena pada tahun 2010. Kami siap salin lirik lagu ini dalam buku tulis. Kenangan sungguh.

Awal 20 an, saya mula melibatkan diri dalam pertandingan penulisan puisi, cerpen dan pantun. Walaupun tak menang, tapi gembira sebab dapat menonjolkan bakat yang ada. Saya juga berjinak-jinak dalam penulisan antologi bersama penulis-penulis lain. Saya sudah ada 2 antologi iaitu, Ruang Sujud dan Memori Dari Hati. Kini, saya rasa lebih yakin untuk menulis dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

Di blog ini, saya akan berkongsi mengenai kehidupan sebagai seorang guru, perkongsian teknik pengajaran terutama yang melibatkan teknologi digital danperkongsian ilmu bahasa,. Kalau anda perasan, link blog ini ajteachstyle. AJ nama saya Aishah Jamal. Teach dan Style fokus kepada kaedah dan konten mengajar yang bersesuaian.

Begitulah. Saya harap blog ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca yang sukakan kandungan gaya pendidikan, kehidupan dan idea-idea menarik yang saya akan kongsikan nanti.

Terima kasih kerana sudi membaca entry pertama saya dalam blog ini. Doakan saya supaya konsisten untuk terus menulis.




No comments:

Post a Comment

30 Aktiviti Bahasa Melayu

Aktiviti Bahasa Melayu Interaktif 1. Cipta Lagu Peribahasa – Bahagikan murid kepada kumpulan dan tugaskan mereka mencipta lirik lagu menggun...