Thursday, January 2, 2025

10 Kesalahan Tatabahasa yang Sering Saya Temui dalam Buku Murid


Oleh: Siti Aishah Jamal

Sebagai guru Bahasa Melayu, antara perkara yang sering saya lakukan ketika menyemak buku latihan murid ialah membaca ayat demi ayat dan melihat kesalahan yang mereka lakukan.

Ada kesalahan yang sama berulang kali.

Kadangkala murid sebenarnya sudah memahami maksud ayat yang ingin disampaikan, tetapi penggunaan perkataan atau struktur ayat masih kurang tepat. Bagi saya, kesalahan seperti ini bukan sesuatu yang perlu dimarahi. Sebaliknya, kesalahan tersebut boleh menjadi peluang untuk murid memahami Bahasa Melayu dengan lebih baik.

Berikut ialah 10 kesalahan tatabahasa yang sering saya temui dalam penulisan murid, khususnya dalam pembinaan ayat dan karangan.

1. “Di” dan “ke” yang sering tertukar

Ini antara kesalahan yang paling biasa.

❌ Ali pergi di kantin.

✅ Ali pergi ke kantin.

Kata sendi nama ke digunakan untuk menunjukkan arah atau tempat yang dituju.

Manakala di digunakan untuk menunjukkan tempat sesuatu berada.

Contohnya:

✅ Ali makan di kantin.

✅ Ali pergi ke kantin.

Cara mudah untuk mengajarnya ialah dengan membezakan konsep bergerak menuju tempat dan berada di sesuatu tempat.


2. “di” sebagai kata sendi nama dan “di-” sebagai imbuhan

Murid juga sering keliru apabila menggunakan perkataan yang bermula dengan di.

Contohnya:

❌ Buku itu di baca oleh Aina.

✅ Buku itu dibaca oleh Aina.

Jika di- merupakan imbuhan pada kata kerja pasif, perkataan tersebut perlu ditulis rapat.

Contoh:

  • dibaca
  • ditulis
  • dibeli
  • dimakan
  • disimpan

Namun, jika di merupakan kata sendi nama, perkataan selepasnya ditulis berasingan.

Contoh:

  • di sekolah
  • di rumah
  • di dalam kelas
  • di atas meja

Kesalahan ini nampak kecil, tetapi sangat kerap muncul dalam penulisan murid.


3. Penggunaan “ialah” dan “adalah”

Murid kadangkala menggunakan ialah dan adalah secara sewenang-wenangnya.

Contohnya:

❌ Hobi saya adalah membaca buku.

Dalam struktur ayat tertentu, penggunaan ialah lebih sesuai apabila hadir sebelum kata nama atau frasa nama.

Contoh:

✅ Hobi saya ialah membaca buku.

Manakala adalah lazimnya digunakan sebelum kata adjektif atau frasa sendi nama.

Contohnya:

✅ Keputusan itu adalah penting.

Walaupun nampak mudah, penggunaan kedua-dua perkataan ini memerlukan latihan yang konsisten supaya murid dapat membezakan fungsinya.


4. Kata ganda yang ditulis tidak tepat

Kesalahan kata ganda juga sering berlaku.

Contohnya:

❌ Murid-murid murid sedang beratur.

❌ Mereka bermain main-mainan di taman.

Kata ganda perlu digunakan mengikut bentuk yang betul.

Contoh:

✅ Murid-murid sedang beratur.

✅ Kanak-kanak bermain di taman.

Guru boleh meminta murid mengenal pasti kata dasar terlebih dahulu sebelum membentuk kata ganda.


5. Penggunaan imbuhan yang tidak tepat

Imbuhan merupakan salah satu bahagian yang agak mencabar bagi murid.

Antara kesalahan yang biasa ditemui ialah:

❌ Mereka menyapu-kan sampah.

✅ Mereka menyapu sampah.

Atau:

❌ Ibu sedang memasakkan nasi.

Dalam sesetengah konteks, bentuk kata kerja yang lebih tepat ialah:

✅ Ibu sedang memasak nasi.

Murid perlu memahami bahawa imbuhan bukan sekadar ditambah pada sesuatu perkataan sesuka hati. Bentuk kata yang terhasil perlu sesuai dengan maksud dan struktur ayat.


6. Penggunaan kata kerja yang berulang

Ada murid yang menghasilkan ayat seperti:

❌ Ali pergi berjalan ke sekolah.

Dalam sesetengah konteks, ayat ini mungkin boleh digunakan bergantung pada maksud, tetapi bagi ayat mudah, murid sering menggunakan terlalu banyak kata kerja yang tidak diperlukan.

Contohnya:

✅ Ali berjalan ke sekolah.

Penulisan yang baik bukan bermaksud menggunakan sebanyak mungkin perkataan.

Sebaliknya, murid perlu belajar menggunakan perkataan yang tepat dan sesuai dengan maksud.


7. Penggunaan “dan” secara berlebihan

Dalam penulisan karangan, murid kadangkala menggunakan dan terlalu banyak dalam satu ayat.

Contohnya:

❌ Saya bangun dan mandi dan bersarapan dan memakai pakaian dan pergi ke sekolah.

Ayat tersebut boleh diperbaiki dengan membahagikan tindakan kepada beberapa ayat.

✅ Saya bangun dan mandi. Selepas itu, saya bersarapan sebelum pergi ke sekolah.

Penggunaan kata hubung yang betul dapat menjadikan penulisan lebih kemas dan mudah dibaca.


8. Ayat yang tidak lengkap

Kesalahan yang sering saya lihat bukan hanya dari segi perkataan, tetapi juga struktur ayat.

Contohnya:

❌ Kerana hujan lebat.

Ayat tersebut tergantung kerana tidak menyampaikan maksud yang lengkap.

Ayat boleh diperbaiki menjadi:

✅ Kami tidak dapat bermain di padang kerana hujan lebat.

Murid perlu dibimbing untuk mengenal pasti siapa, melakukan apa dan apa yang berlaku ketika membina ayat.


9. Penggunaan kata adjektif yang tidak tepat

Murid juga kadangkala menggunakan kata adjektif secara berlebihan atau tidak sesuai dengan kata nama.

Contohnya:

❌ Rumah itu sangat cantik sekali.

Penggunaan sangat dan sekali secara serentak dalam bentuk ini dianggap lewah.

Lebih baik gunakan:

✅ Rumah itu sangat cantik.

atau

✅ Rumah itu cantik sekali.

Penggunaan kata yang tepat akan menjadikan ayat lebih kemas.


10. Penggunaan kata pemeri secara berlebihan

Satu lagi perkara yang sering berlaku ialah murid gemar memasukkan ialah atau adalah ke dalam hampir setiap ayat.

Contohnya:

❌ Ali adalah pergi ke sekolah.

❌ Ibu ialah sedang memasak di dapur.

Kata pemeri bukan perlu digunakan dalam setiap ayat.

Ayat yang lebih tepat ialah:

✅ Ali pergi ke sekolah.

✅ Ibu sedang memasak di dapur.

Murid perlu memahami bahawa sesetengah ayat sebenarnya sudah lengkap tanpa memerlukan kata pemeri.


Kesalahan Bukan Kegagalan

Sebagai guru, saya percaya bahawa kesalahan yang dilakukan murid merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran.

Apabila saya menemui kesalahan yang sama berulang kali dalam buku latihan, saya cuba melihatnya bukan sebagai tanda bahawa murid tidak belajar, tetapi sebagai petunjuk bahawa konsep tersebut masih belum benar-benar dikuasai.

Di sinilah peranan guru menjadi penting.

Kadangkala kita perlu menerangkan semula sesuatu perkara dengan cara yang berbeza. Ada murid lebih mudah memahami melalui contoh, ada yang memerlukan gambar, ada yang suka permainan bahasa dan ada pula yang perlu membuat latihan berulang kali.

Yang penting, murid perlu diberi peluang untuk membetulkan kesalahan dan mencuba semula.

Bagi saya, sebuah buku latihan yang mempunyai banyak pembetulan tidak semestinya menunjukkan seorang murid itu lemah.

Sebaliknya, buku tersebut mungkin sedang menunjukkan proses seorang murid belajar.

Setiap kesalahan yang dibetulkan ialah satu langkah kecil ke arah penguasaan Bahasa Melayu yang lebih baik.

Dan mungkin suatu hari nanti, apabila murid membuka semula buku lamanya dan melihat begitu banyak kesalahan yang pernah dibuat, dia akan tersenyum dan berkata,

“Dulu saya selalu salah, sekarang saya sudah tahu.”

Itulah antara kepuasan terbesar seorang guru Bahasa Melayu.


Friday, September 17, 2021

Semester 1 di IPGKTHO

 Lama saya merenung pernyataan itu. Perasaan jadi bercampur baur. Pelbagai persoalan menerjah ke ruang minda. Apa yang cuba disampaikan? Apa pula yang perlu saya buat? Cemas melihat jam yang terus berdetik, saya pantas menjawab mengikut kefahaman sendiri.

Itulah detik-detik yang dialami sepanjang OBT selama 6 hari di IPGKTHO tempat saya menuntut ilmu sekarang. Dua karangan perlu dijawab dalam masa tak sampai 2 jam sebanyak 500 patah perkataan. Perasaan berdebar tu jangan cakaplah.  Lega rasa bila semuanya berakhir untuk semester 1. Ada lagi 2 semester jadi tak boleh nak seronok sangat.

Bila dicongak kembali, sudah hampir 4 tahun meninggalkan zaman universiti dan peperiksaan. Terkenang waktu-waktu dulu sambil buat study group dengan rakan-rakan, duduk sama-sama, makan sama-sama. Pada akhirnya, lebih banyak makan daripada belajar. 

KIni, suasana pembelajaran sudah tidak sama. Bertemu pensyarah dan rakan sekelas melalui Google Meet. Perbincangan pula melalui Whatsapp, Telegram dan medium tertentu. Kira perlu beradaptasi dengan perubahan yang berlaku.  Boleh dikatakan sebagai satu pengalaman juga. Teringat Encik Rahim, salah seorang pensyarah saya cakap dalam kelas.

“Kalau awak tak menulis, tak catat, macam mana awak nak tunjuk bukti pada cucu cicit yang awak pernah melalui fasa ini”. Walau sekarang kita boleh tunjuk gambar sebagai bukti tapi penulisan juga  salah satu cara untuk mengeksperikan kenangan dan memori. Jadi, saya juga nak coret pengalaman saya sepanjang sem 1 ini bersama pensyarah dan rakan sekelas. Acah-acah macam dah habis belajar. Tapi tidak mengapa, nanti betul-betul dah habis, kita kongsi yang lain pula.

1. Pensyarah yang faham situasi pelajar

Kesemua pensyarah yang mengajar kami sangat memahami dan bertimbang rasa. Ada juga antara mereka yang tidak jemu memberikan kata-kata semangat dan motivasi untuk memberi galakan dan dorongan.  Saya suka satu ayat yang selalu disebut oleh pensyarah saya, Puan Zuraida, “Cikgu-cikgu, jika ada rasa nak give up, jangan lupa R&R. Rest and Recharge.” Memang perlu beri masa kepada diri untuk R&R. Dapatkan semula semangat dan kekuatan bagi menyiapkan kerja-kerja yang ada.

2.Rakan sekelas yang saling membantu

Konsep sharing is caring sesama rakan sekelas. Saling berkongsi bahan pembelajaran untuk manfaat bersama. Saling memberi pandangan dan pendapat bagi merancang dan menyiapkan assignment.  Pada masa yang sama, boleh wujudkan pembelajaran secara  berkumpulan atau berpasangan. Kita pasti akan ada projek berkumpulan untuk setiap subjek, jadi gunakan juga kumpulan itu untuk membuat sesi perbincangan mengenai topik pembelajaran dan ulang kaji sebelum peperiksaan. Kaedah ini sangat membantu untuk mendapatkan lebih banyak input pembelajaran.

3.Pengurusan masa yang baik

“All time management begins with planning”, kata-kata dari Tom Greening. Saya seorang yang tidak berapa gemar membuat perancangan harian. Maksudnya, dari segi buat to do list, masa yang diperuntukkan untuk membaca, menulis dan siapkan bahan PDPR. Semenjak mula belajar di IPG, saya cuba rancang masa dengan sebaiknya. Walau kadang ada juga yang tidak mengikut kepada perancangan, namun usahakan untuk utamakan mana yang penting terlebih dahulu. 

Begitulah, rakan-rakan. Sedikit coretan daripada saya. Salah satu guru yang baik dalam hidup adalah pengalaman. Bukan hanya pengalaman sendiri sahaja tapi juga dari pengalaman orang lain. Kita dapat lihat kehidupan  dari sudut pandang berbeza. Ambil yang positif dan gunakan input yang diperoleh untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

Hari Pertama Posting Sebagai Guru

Assalamualaikum dan hi semua. Apa khabar? Moga sihat selalu. 

Hari ini 10 Jun 2021 genap setahun saya mengajar di sekolah SJKC Thai Hong. Banyak betul kisah dan ragam yang saya lalui sepanjang bergelar guru di sini. Yang paling menyentuh hati bila ada seorang murid ini tak boleh nampak saya. Kalau dia nampak sahaja, mulalah dia panggil sampailah saya hilang dari pandangannya. Kenangan yang paling sedih, bila ada murid tepis tangan saya waktu  nak bantu dia menulis dalam buku. Tipulah kalau tak sedih. Saya tahan air mata daripada mengalir. Pujuk hati sendiri. "Sabar Aishah, sabar. Begitulah, cabaran sebagai seorang guru. Perlu cekal dan tabah untuk menghadapi dugaan mendatang.

Saya nak cerita tentang hari pertama saya datang ke sini. Masa mula-mula tu rasa berdebar juga. Datang ke tempat baharu, suasana baharu, semuanyalah serba serbi baharu.  Saya sampai agak awal dalam pukul 8.35 pagi. Kelihatan beberapa buah kereta sahaja yang ada ketika itu.  Sampai sahaja di pagar sekolah, saya disapa mesra oleh Pak Guard di situ. Namanya En Sara. Seorang lelaki berbangsa India. Orangnya sangat baik dan peramah.

Timeline saya posting, pada saat pandemik berlaku dan kelas online sedang berlangsung. Jadi, apabila saya sampai di sekolah, guru-guru yang lain tiada mereka Work From Home (WFH). Dalam pukul 8.45 pagi saya bergerak menuju ke pejabat. Sampai sahaja di hadapan pejabat, saya berjumpa dengan 3 orang AKP iaitu Kak Mazura, Kak Rahmah dan Kak Aini. Saya menyapa mereka sambil tersenyum. 

Ketika itulah, guru besar Puan Loo datang menyapa saya.  Beliau minta saya berhubung dengan Kak Rahmah untuk semak borang dan segala dokumen yang diperlukan. Selepas itu, baru berjumpa semula dengan beliau di bilik Guru Besar.

Setelah selesai urusan bersama Kak Rahmah, saya terus menuju ke bilik Guru Besar. Guru Penolong Kanan, Puan Chan Fong Lin turut ada di situ. Mereka lihat dokumen yang saya bawa satu persatu. Mereka tanya mengenai pengalaman kerja, pernah mengajar subjek lain selain Bahasa Melayu atau tidak dan beberapa soalan peribadi.

Seterusnya, saya diminta untuk membaca IKRAR di hadapan mereka berdua. Ketika itu, saya dapat rasa satu tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksana dengan sebaiknya sepanjang mendidik murid-murid di sini.


Ada beberapa perkara yang saya ingin tekankan di sini kepada para pembaca :

1. Datang awal pada hari pertama posting

Pendaftaran di sekolah berlangsung pada jam 9.00 pagi mengikut kepada surat yang diberi. Jadi, rancang perjalanan dengan sebaiknya. Anda perlu tunjukkan satu tanggapan yang baik mengenai diri anda. Masa saya berbual dengan Kak Mazura, dia kata "Tadi Guru besar puji Aishah. Dia kata saya suka macam ini datang awal tepati masa". Nampak tak dekat situ, first impression sangat penting untuk menampakkan keprofesionalisme diri sebagai seorang guru.

2. Pakaian Kemas 

Pakaian kemas  melambangkan keperibadian diri serta nilai-nilai dan etika kerja yang murni. Cara berpakaian yang bersih, kemas dan bersesuaian perlu diberi penekanan. Pakai pakaian yang kemas dan menutup aurat.

3. Senyum 

Senyum itu sedekah. Bila biasakan diri dengan senyum kepada setiap orang yang kita jumpa akan lebih menampakkan yang kita seorang yang peramah danmudah didekati. Jika muka pun masam je bila awal-awal sampai, orang lain pun serba salah nak menegur.

Begitulah, sedikit coretan pengalaman dan tips dari saya. Ambillah mana yang bermanfaat dan boleh dijadikan tauladan. Terima kasih sudi membaca.





Hari Kedua Taklimat IPG

5 Jun 2021 : Ahad

Hari kedua taklimat Institut Pendidikan Guru. Pada hari kedua taklimat, kami tiada perjumpaan secara online melalui Google Meet.. Taklimat diadakan melalui Google Classroom. Seperti biasa Encik Rohaizan memuat naik dokumen dan video yang perlu kami teliti dan fahami dengan sebaiknya. 

10.00-11.00 pagi

Pagi ini, kami mula dengan taklimat keselamatan Evetting. Pernah tak dengar istilah ini? Saya sendiri pun baru tahu masa mula-mula diminta isi oleh pihak sekolah. E-Vetting merupakan proses tapisan keselamatan bagi individu yang berjaya mendapat kerja di sektor kerajaan. Sesiapa yang dapat bekerja di sektor kerajaan mesti mengisi E-Vetting. Setiap pengisi juga bakal mendapat sijil dan perlu dicetak. Sijil akan diberikan dalam masa sebulan setelah permohonon diluluskan.

11.00 - 12.00 Taklimat Disiplin dan Akta 174

Seterusnya, kami perlu membaca dan memahami Taklimat Disiplin dan Peraturan di IPG. Kami dibekalkan dengan slide power point dan Buku Peraturan Pelajar Institut Pendidikan Guru. Saya meneliti isi dalam slide dan buku itu dengan sebaiknya. Terdapat beberapa Akta dan peraturan tertentu yang perlu dipatuhi oleh pelajar. Boleh dikatakan ia lebih kepada peraturan ketika berada di IPG dari segi cara berpakian, etik-etika tertentu dan sebagainya. Oleh sebab sekarang belajar melalui online jadi peraturan khusus yang ditekankan.

2.30 - 3.30 Taklimat Lawatan dan Insurans Pelajar

Agaknya taklimat ini tentang apa? Tengok dalam GC, ada 3 fail yang dimuat naik bersama. Antara perkara yang perlu difahami dengan sebaiknya ialah 

1. Taklimat Skim Takaful Berkelompok Pelajar IPG. 

2. Manfaat Akibat 36 Jenis Penyakit

3. Prosedur Lawatan ke Luar Negara 


3.30 -4.30 Taklimat Buku Panduan dan Syarat Penganugerahan

Pada taklimat ini, kami diberi 1 dokumen pdf yang memuatkan segala panduan dan syarat-syarat untuk bergraduasi. Secara ringkasnya, terdapat beberapa syarat-syarat am yang perlu dipatuhi para pelajar antaranya :

1. Syarat kelayakan menduduki peperiksaan

Pelajar hendaklah menghadiri kuliah, tutorial, kelas atau pengajaran lain berhubung dengan kursus pengajian melainkan jika ia mendapat kebenaran secara bertulis terlebih dahulu daripada tenaga pengajar.

2. Tidak cukup kehadiran

Pelajar yang kehadirannya kurang daripada 100% dalam mana-mana kursus yang ada komponen peperiksaan sepanjang semester pengajian tanpa sebab tertentu yang dapat diterima oleh JKPPIPG, pelajar tidak dibenarkan menduduki peperiksaan kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Pengerusi JKPPIPG.. Selain itu, pelajar tidak dibenarkan menduduki peperiksaan jika ketidakhadiran tanpa sebab  munasabah melebihi 20% daripada jumlah jam interaksi yang ditawarkan pada semester itu. Kes ini perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib untuk diambil tindakan.

3. Kehadiran semasa peperiksaan

Calon perlu menduduki peperiksaan melainkan 

(a) mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Pengarah untuk tidak menduduki peperiksaan itu; atau

(b) mempunyai alasan yang munasabah kerana tidak hadir, dan calon itu atau wakilnya, hendaklah memaklumkan sebab-sebab dia tidak hadir dengan kadar segera secara bertulis kepada pengarah, dan mendapatkan kelulusan secara bertulis atau 

(c) calon yang sakit hendaklah memaklumkan sendiri atau melalui wakilnya kepada Pengarah dan menyertakan surat akan doktor sebagai bukti; atau 

(d) calon yang dihalang daripada menduduki peperiksaan sebagai satu hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib IPG kampus berdasarkan peruntukan Akta 174, Akta Institusi- Institusi Pelajaran (Tatatertib) Pindaan 2012 – Bahagian V (Tatacara Tatatertib).

Kami juga dimaklumkan mengenai markah dan sistem gred. Prestasi pelajar dalam kursus ditunjukkan melalui gred yang diperoleh. Gred C (mata nilai gred 2.00) adalah gred minimum yang dikira lulus.

5.00pm - 6.00pm

Taklimat yang terakhir pada hari ini ialah taklimat peperiksaan. Untuk taklimat ini, kami diberi video penerangan daripada , pautan ke website Items, Slide power point taklimat peperiksaan dan dokumen persediaan menghadapi Open Book Test).

Begitulah serba sedikit mengenai taklimat pada hari kedua di IPGKTHO!! Pengalaman pertama belajar secara atas talian. Selama ini kami mengajar murid, sekarang kami pula perlu belajar.



Kuiz Tatabahasa: Belajar, Berfikir dan Bersaing

Oleh : Aishah Jamal Sekolah telah mengadakan Pertandingan Kuiz Tatabahasa yang melibatkan murid-murid Tahap 2. Kuiz ini diadakan bagi meng...