Friday, September 17, 2021

Semester 1 di IPGKTHO

 Lama saya merenung pernyataan itu. Perasaan jadi bercampur baur. Pelbagai persoalan menerjah ke ruang minda. Apa yang cuba disampaikan? Apa pula yang perlu saya buat? Cemas melihat jam yang terus berdetik, saya pantas menjawab mengikut kefahaman sendiri.

Itulah detik-detik yang dialami sepanjang OBT selama 6 hari di IPGKTHO tempat saya menuntut ilmu sekarang. Dua karangan perlu dijawab dalam masa tak sampai 2 jam sebanyak 500 patah perkataan. Perasaan berdebar tu jangan cakaplah.  Lega rasa bila semuanya berakhir untuk semester 1. Ada lagi 2 semester jadi tak boleh nak seronok sangat.

Bila dicongak kembali, sudah hampir 4 tahun meninggalkan zaman universiti dan peperiksaan. Terkenang waktu-waktu dulu sambil buat study group dengan rakan-rakan, duduk sama-sama, makan sama-sama. Pada akhirnya, lebih banyak makan daripada belajar. 

KIni, suasana pembelajaran sudah tidak sama. Bertemu pensyarah dan rakan sekelas melalui Google Meet. Perbincangan pula melalui Whatsapp, Telegram dan medium tertentu. Kira perlu beradaptasi dengan perubahan yang berlaku.  Boleh dikatakan sebagai satu pengalaman juga. Teringat Encik Rahim, salah seorang pensyarah saya cakap dalam kelas.

“Kalau awak tak menulis, tak catat, macam mana awak nak tunjuk bukti pada cucu cicit yang awak pernah melalui fasa ini”. Walau sekarang kita boleh tunjuk gambar sebagai bukti tapi penulisan juga  salah satu cara untuk mengeksperikan kenangan dan memori. Jadi, saya juga nak coret pengalaman saya sepanjang sem 1 ini bersama pensyarah dan rakan sekelas. Acah-acah macam dah habis belajar. Tapi tidak mengapa, nanti betul-betul dah habis, kita kongsi yang lain pula.

1. Pensyarah yang faham situasi pelajar

Kesemua pensyarah yang mengajar kami sangat memahami dan bertimbang rasa. Ada juga antara mereka yang tidak jemu memberikan kata-kata semangat dan motivasi untuk memberi galakan dan dorongan.  Saya suka satu ayat yang selalu disebut oleh pensyarah saya, Puan Zuraida, “Cikgu-cikgu, jika ada rasa nak give up, jangan lupa R&R. Rest and Recharge.” Memang perlu beri masa kepada diri untuk R&R. Dapatkan semula semangat dan kekuatan bagi menyiapkan kerja-kerja yang ada.

2.Rakan sekelas yang saling membantu

Konsep sharing is caring sesama rakan sekelas. Saling berkongsi bahan pembelajaran untuk manfaat bersama. Saling memberi pandangan dan pendapat bagi merancang dan menyiapkan assignment.  Pada masa yang sama, boleh wujudkan pembelajaran secara  berkumpulan atau berpasangan. Kita pasti akan ada projek berkumpulan untuk setiap subjek, jadi gunakan juga kumpulan itu untuk membuat sesi perbincangan mengenai topik pembelajaran dan ulang kaji sebelum peperiksaan. Kaedah ini sangat membantu untuk mendapatkan lebih banyak input pembelajaran.

3.Pengurusan masa yang baik

“All time management begins with planning”, kata-kata dari Tom Greening. Saya seorang yang tidak berapa gemar membuat perancangan harian. Maksudnya, dari segi buat to do list, masa yang diperuntukkan untuk membaca, menulis dan siapkan bahan PDPR. Semenjak mula belajar di IPG, saya cuba rancang masa dengan sebaiknya. Walau kadang ada juga yang tidak mengikut kepada perancangan, namun usahakan untuk utamakan mana yang penting terlebih dahulu. 

Begitulah, rakan-rakan. Sedikit coretan daripada saya. Salah satu guru yang baik dalam hidup adalah pengalaman. Bukan hanya pengalaman sendiri sahaja tapi juga dari pengalaman orang lain. Kita dapat lihat kehidupan  dari sudut pandang berbeza. Ambil yang positif dan gunakan input yang diperoleh untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

No comments:

Post a Comment

30 Aktiviti Bahasa Melayu

Aktiviti Bahasa Melayu Interaktif 1. Cipta Lagu Peribahasa – Bahagikan murid kepada kumpulan dan tugaskan mereka mencipta lirik lagu menggun...