Oleh: Aishah Jamal
Dalam kelas Bahasa Melayu, kita sering mengajar murid tentang kata nama, kata kerja, kata adjektif, imbuhan dan pelbagai aspek tatabahasa.
Murid membuat latihan, menghafal rumus dan membetulkan kesalahan ayat.
Namun, satu persoalan sering bermain di fikiran saya:
Adakah murid yang menguasai tatabahasa semestinya mampu menggunakan Bahasa Melayu dengan baik?
Tidak semestinya.
Bahasa bukan sekadar tentang betul atau salah. Bahasa ialah alat untuk kita berfikir, berkomunikasi, menyampaikan idea dan meluahkan perasaan.
Sebab itu, pengajaran Bahasa Melayu perlu lebih daripada sekadar tatabahasa.
Murid tahu, tetapi tidak tahu hendak menulis
Antara perkara yang sering berlaku dalam kelas ialah murid sebenarnya mempunyai idea, tetapi tidak tahu bagaimana hendak mengembangkannya.
Apabila ditanya secara lisan, mereka boleh bercerita dengan panjang.
Tetapi apabila diminta menulis, mereka berkata,
“Cikgu, saya tak tahu nak tulis apa.”
Dalam situasi ini, masalah mereka bukan semata-mata kerana tidak tahu tatabahasa. Mereka mungkin tidak tahu bagaimana hendak mencari dan mengembangkan idea.
Sebagai contoh, jika murid diminta menulis tentang faedah bersukan, kita boleh membantu mereka dengan beberapa soalan:
- Apakah faedah bersukan?
- Mengapa bersukan baik untuk kesihatan?
- Apakah contoh aktiviti sukan?
- Apakah yang berlaku jika kita rajin bersukan?
Daripada soalan-soalan mudah ini, murid mula belajar membina idea.
Mereka belajar bahawa menulis bukan sekadar menyusun perkataan. Menulis juga ialah proses berfikir.
Beri murid ruang untuk bercakap
Bahasa juga perlu digunakan dalam kehidupan sebenar.
Murid perlu diberi peluang untuk bercakap, bertanya, menjawab soalan dan memberikan pendapat.
Kadangkala kita terlalu fokus untuk memastikan murid bercakap dengan ayat yang sempurna sehingga mereka takut untuk mencuba.
Jika murid melakukan kesalahan ketika bercakap, kita boleh membimbing mereka secara perlahan.
Contohnya, murid berkata:
“Cikgu, saya suka aktiviti ni sebab dia seronok.”
Kita boleh membimbing:
“Saya suka aktiviti ini kerana aktiviti ini menyeronokkan.”
Murid belajar menggunakan bahasa yang lebih tepat tanpa berasa bahawa mereka sedang “dihukum” kerana melakukan kesalahan.
Bina keyakinan sebelum membina ayat
Murid yang takut melakukan kesalahan biasanya kurang berani untuk bercakap dan menulis.
Sebab itu, guru perlu menyediakan ruang yang selamat untuk murid mencuba.
Tidak mengapa jika ayat mereka belum sempurna.
Tidak mengapa jika idea mereka masih ringkas.
Yang penting, mereka berani mencuba terlebih dahulu.
Kita boleh membetulkan kesalahan selepas mereka selesai menyampaikan idea.
Kadangkala, kata-kata mudah seperti idea kamu menarik atau “Cuba kembangkan lagi” mampu membuatkan murid lebih yakin untuk terus mencuba.
andai menulis.
Mungkin dia cuma belum tahu bagaimana hendak mencari dan mengembangkan idea.
Dan di situlah peranan kita sebagai guru Bahasa Melayu.
Mengajar Bahasa Melayu bukan sekadar mengajar murid menggunakan bahasa dengan betul. Kita juga mengajar mereka cara berfikir, berkomunikasi dan menemukan suara mereka sendiri.
Kerana bahasa bukan sekadar subjek di dalam buku teks.
Bahasa ialah alat untuk memahami dunia dan menyampaikan siapa diri kita.
No comments:
Post a Comment