Oleh: Siti Aishah Jamal
“Cikgu, macam mana nak pandai Bahasa Melayu?”
Semakin lama saya mengajar, semakin saya sedar bahawa untuk menguasai Bahasa Melayu, murid bukan sahaja perlu tahu apa yang perlu dibuat, tetapi juga perlu tahu apa yang patut dielakkan.
Kadangkala, kita belajar dengan menghafal banyak perkara. Kita hafal kosa kata, hafal peraturan tatabahasa dan hafal format karangan. Tetapi selepas itu, apabila diminta membina ayat atau menulis karangan, kita masih tidak tahu hendak bermula dari mana.
Jadi, kalau kamu benar-benar mahu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu, cuba elakkan lima perkara ini.
1. Jangan Takut Membuat Kesalahan
Ada murid yang sebenarnya tahu jawapan, tetapi tidak mahu menjawab kerana takut jawapannya salah.
Apabila guru bertanya,
“Siapa tahu jawapannya?”
Mereka menundukkan kepala.
Apabila guru meminta mereka membaca,
“Cikgu, orang lain bacalah.”
Apabila diminta bercakap dalam Bahasa Melayu,
“Saya tak pandai, cikgu.”
Saya faham perasaan itu. Bagaimana kita mahu menjadi lebih baik jika kita tidak pernah mencuba?
Bahasa ialah kemahiran yang perlu digunakan. Kita belajar dengan bercakap, membaca, menulis, mendengar dan membetulkan kesalahan. Kalau tersalah, tidak mengapa. Guru boleh betulkan. Lama-kelamaan, kita akan menjadi lebih baik.
2. Jangan Hafal Perkataan Tanpa Menggunakannya
Murid sering bertanya,
“Cikgu, berapa banyak perkataan saya perlu hafal untuk pandai BM?”
Jawapannya bukan sekadar tentang jumlah perkataan yang kamu hafal.
Kamu mungkin boleh menghafal 20 perkataan baharu dalam sehari, tetapi jika kamu tidak tahu cara menggunakannya, perkataan tersebut mungkin hilang begitu sahaja daripada ingatan.
Contohnya, kamu belajar perkataan “gigih”.
Jangan hanya hafal:
gigih = bersungguh-sungguh
Cuba gunakan perkataan itu dalam ayat:
Aina gigih belajar untuk mencapai kejayaan.
Kemudian cuba gunakan dalam situasi lain:
Walaupun menghadapi banyak cabaran, dia tetap gigih berusaha.
Apabila kita menggunakan perkataan dalam ayat, kita bukan sahaja mengingati maksudnya, tetapi memahami cara perkataan tersebut digunakan.
Oleh sebab itu, setiap kali belajar perkataan baharu, cuba buat satu perkara mudah:
Belajar satu perkataan → bina satu ayat.
Sedikit, tetapi konsisten.
3. Jangan Tunggu Pandai Baru Mahu Membaca
Sekiraya mahu meningkatkan Bahasa Melayu, membaca merupakan antara latihan yang paling penting.
Membaca tidak semestinya bermaksud membaca buku yang tebal.
Kamu boleh bermula dengan cerita pendek, komik, majalah, artikel, bahan bacaan sekolah atau apa sahaja bahan yang sesuai dengan tahap kamu.
Semasa membaca, cuba perhatikan:
Bagaimana penulis membina ayat?
Apakah perkataan baharu yang digunakan?
Bagaimana cerita itu dimulakan?
Bagaimana penulis menerangkan sesuatu perkara?
Tanpa kita sedari, membaca sebenarnya memberi kita banyak contoh Bahasa Melayu yang baik.
Kadangkala kita tidak sedar bahawa kita sedang belajar.
Kita hanya membaca sebuah cerita.
Tetapi dalam cerita itu, kita sedang belajar kosa kata, struktur ayat, tanda baca dan cara menyampaikan idea.
4. Jangan Hanya Belajar Apabila Ada Ujian
Ini antara perkara yang paling biasa berlaku.
Bila peperiksaan semakin hampir, barulah buku Bahasa Melayu dibuka.
Barulah mahu menghafal kosa kata.
Barulah mahu membuat latihan.
Barulah mahu menulis karangan.
Masalahnya, penguasaan bahasa tidak boleh dibina dalam satu malam.
Bahasa memerlukan pendedahan dan latihan yang berterusan.
Tidak perlu belajar berjam-jam setiap hari.
Kadangkala 15 hingga 20 minit pun sudah cukup jika dilakukan secara konsisten.
Hari ini baca satu cerita pendek.
Esok belajar lima perkataan baharu.
Lusa bina lima ayat.
Hari berikutnya cuba tulis satu perenggan.
Nampak sedikit.
Tetapi apabila dilakukan setiap hari, sedikit-sedikit itu akan terkumpul menjadi banyak.
Kita tidak perlu menjadi hebat dalam satu hari. Kita cuma perlu menjadi lebih baik daripada semalam.
5. Jangan Anggap Bahasa Melayu Hanya Subjek untuk Peperiksaan
Ini mungkin perkara yang paling penting.
Bahasa Melayu bukan hanya tentang markah dalam peperiksaan.
Kita menggunakan Bahasa Melayu untuk bercakap dengan orang lain.
Kita menggunakannya untuk menyampaikan perasaan.
Kita menggunakannya untuk membaca maklumat.
Kita menggunakannya untuk menulis.
Kita menggunakannya untuk bercerita.
Sebab itu, apabila belajar Bahasa Melayu, jangan hanya fikir:
“Apa jawapan yang cikgu mahu?”
Cuba fikir:
“Bagaimana saya boleh menggunakan bahasa ini dalam kehidupan saya?”
Jika belajar kata adjektif, cuba gunakan ketika bercerita.
Jika belajar kosa kata baharu, cuba gunakan ketika bercakap.
Jika belajar membina ayat, cuba gunakan ketika menulis tentang pengalaman sendiri.
Apabila Bahasa Melayu mula digunakan dalam kehidupan seharian, pembelajaran akan terasa lebih bermakna.
Jadi, Apa yang Patut Kita Buat?
Kalau mahu pandai Bahasa Melayu, jangan takut salah.
Jangan sekadar hafal.
Jangan jauhkan diri daripada bahan bacaan.
Jangan belajar hanya ketika peperiksaan semakin hampir.
Dan jangan anggap Bahasa Melayu sekadar satu mata pelajaran.
Sebaliknya:
Berani mencuba.
Banyak membaca.
Banyak mendengar.
Banyak bercakap.
Banyak menulis.
Dan jangan lupa untuk bertanya apabila tidak faham.
Sebagai guru Bahasa Melayu, saya tidak mengharapkan semua murid terus menghasilkan ayat yang sempurna atau karangan yang hebat.
Saya lebih gembira apabila melihat murid yang dahulu selalu berkata,
“Saya tak tahu, cikgu.”
mula berkata,
“Cikgu, saya cuba.”
Kerana pada akhirnya, belajar Bahasa Melayu bukan tentang menjadi sempurna.
Ia tentang berani menggunakan bahasa, belajar daripada kesalahan dan terus mencuba.
Jadi, kalau suatu hari nanti kamu rasa,
“Saya tak pandai BM.”
Kam bukan tidak pandai.
Mungkin kamu cuma belum cukup membaca, belum cukup mencuba dan belum cukup percaya bahawa kamu sebenarnya boleh.
No comments:
Post a Comment