Setiap murid ada keistimewaan mereka yang tersendiri. Istimewanya murid-murid 6T di hati saya adalah kerana mereka merupakan anak-anak yang saya ajar sejak pertama kali saya menjejakkan kaki ke sekolah ini sehinggalah sekarang.
Sekumpulan murid yang pada awalnya begitu mendengar kata, penuh disiplin, dan sentiasa bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Namun, seiring beredarnya masa, murid-murid ini semakin matang, bertambah bijaksana dan semakin ceria. Ada juga yang mula menguji kesabaran guru.
Namun, di sebalik perubahan itu, setiap detik yang saya lalui bersama mereka menjadi satu lakaran memori yang indah dan bermakna. Mereka mengajar saya banyak perkara tentang kesabaran, pendekatan pengajaran yang berkesan, dan yang paling utama tentang erti menjadi seorang guru yang berjiwa pendidik.
6T mengajar saya bahawa setiap murid mempunyai fasa perkembangan yang berbeza. Mereka mungkin berubah, tetapi itu tidak bermakna mereka kurang menghargai usaha guru mereka.
Sebagai guru, kita bukan sahaja mengajar mereka tentang pelajaran, tetapi kita juga belajar untuk memahami perasaan, keinginan dan keperluan mereka sebagai murid.
Pelbagai ragam dan cerita dilewati bersama menjadi episod penuh suka dan duka. Banyak yang ingin dicoretkan sebagai kenangan namun yang paling utama, setiap daripada mereka amat istimewa dan memberi makna kepada diri ini dari sudut pandang yang berbeza.
Di sebalik kejayaan, ada jerih perih, tangisan, tawa, kecewa dan doa yang mengiringi perjalanan.
Di sebalik kegagalan, ada hikmah, peluang dan pengajaran untuk memperbaiki kekurangan diri.
Tentunya di setiap pertemuan, pasti ada perpisahan yang menjadi titik tolak kepada hadirnya sebuah kenangan.
Episod di sekolah rendah telahpun berakhir, selamat menempuh alam persekolahan menengah yang lebih mencabar dan berwarna-warni.
Kini, walaupun mereka telah melangkah ke sekolah menengah, kenangan bersama 6T akan tetap kekal dalam ingatan saya. Mereka bukan sekadar murid saya, mereka adalah sebahagian daripada perjalanan saya sebagai seorang guru.
Tahniah anak-anak yang baik lagi cerdik. Moga kalian membesar menjadi insan cemerlang dan berbakti kepada kedua ibu bapa.
No comments:
Post a Comment