Friday, June 4, 2021

Hari Pendaftaran dan Taklimat Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Hussein Onn

Assalamualaikum dan hai semua. Hari ini sudah masuk hari yang keempat PKP 3.0. Moga kalian baik-baik sahaja ya.

Hari ini, saya nak kongsi pengalaman pertama menjadi pelajar secara online. Alhamdulillah hari ini, hari pertama kami Guru Interim tahun 2020 bakal menjalani kehidupan sebagai seorang guru dan pelajar. Dengar macam menarik kan? Memang menarik. Selama ini jadi cikgu, bagi  kerja kepada para pelajar, ajar kelas online melalui Google Meet. Sekarang kami pula rasa bagaimana perasaan menjadi pelajar di musim pandemik ini.

Batch kami merupakan batch kedua yang melalui pembelajaran di IPG secara atas talian. Saya rasa ia bakal menjadi satu pengalaman yang indah buat kami semua. Saya dapat tawaran belajar di Institust Pendidikan Guru Tun Hussein Onn. Hari pertama dapat tahu tempat belajar rasa teruja sangat. Banyak kali terfikir, dekat manalah daku bakal ditempatkan. Nahh, jawapannya IPG KTHO. Mari lihat gambar kampus saya. Hanya mampu lihat pada gambar sahaja. Jika ada rezeki nanti, bolehlah saya melawat ke sana.

Sumber : gpsbestari

Kami diberi email khas dari IPG yang akan digunakan sepanjang kelas secara atas talian. Pada hari pertama, kami ada empat taklimat iaitu Taklimat PPPB Penerangan Budaya IPG, Taklimat Kurikulum atau Akademik, Taklimat Praktikum dan Taklimat Sistem Maklumat Pelajar.  Seawal 7.00 pagi, guru-guru dikehendaki membuat pendaftaran secara atas talian. Menarik kan? Selalunya awal-awal kena gerak ke tempat yang dituju, tunggu pukul 7.00 daftar lepas tu masuk dewan. Rindunya suasana seperti ini.

Pukul 9.30, kami perlu join meeting melalui Microsoft Team. Dekat sini barulah dapat lihat wajah kawan-kawan yang satu batch dengan saya. Mari saya tunjuk gambar kami semasa dalam meeting.

                                                                            Kelam je kelas. Rasa sunyi.

              Together mode gituu. Rasa seakan duduk bersebelahan

                                                                 Wajah-wajah beberapa orang pelajar IPG KTHO

Kami semua terdiri daripada pelajar option Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Islam. Saya merupakan pelajar option Bahasa Melayu. Pada hari pertama ini, kami perlu join meeting untuk sesi pendaftaran.K ami mendengar taklimat daripada Dr Mohd Yusoff Dagang. Beliau menceritakan serba sedikit mengenai IPG KTHO kemudian beliau minta pelajar perkenalkan diri.

Kalian rasa bagaimana nak kenalkan diri dengan 220 pelajar yang ada dalam meeting ini? Jawapannya sangatlah mudah, beliau pilih 3 orang bertuah untuk perkenalkan diri. Belum selesai di situ, beliau minta sesiapa untuk volunteer memperkenalkan diri.  Rasalah juga macam ice breaking, saling kenal-kenal walaupun tak semua dapat bercakap.

Selesai meeting secara online, guru-guru diminta untuk pergi ke Google Classroom masing-masing. Rupanya setiap taklimat diadakan di Google Classroom melalui video yang dimuat naik. Cara begini bagus dan fleksible. Sekurang-kurangnya semua boleh dengar taklimat dengan lebih jelas. Jika secara Meeting berkemungkinan akan ada yang tidak dapat dengar dengan jelas dan lagging memanjang.

Taklimat PPPB disampaikan oleh Dr Mohd Yusoff Dagang. Beliau menyampaikan taklimat mengenai budaya yang perlu diterapkan oleh warga IPG KTHO. Saya ada tulis beberapa point penting yang pada saya sangatlah bermanfaat untuk dikongsi bersama.

Dr Yusoff yang kacak bergaya. Peribadi bagai seorang ayah yang prihatin.

  Isi-isi taklimat yang saya sempat tulis.

Selesai sahaja taklimat ini, kami perlu mendengar taklimat yang seterusnya iaitu Taklimat Kurikulum dan Akademik. Kami perlu menonton 5 video mengenai kurikulum dan subjek-subjek yang bakal kami pelajari. Ada 4 kod kursus dan subjek yang ditawarkan :

BMBR2073 : Prinsip, Pendekatan, Strategi, Kaedah dan Teknik Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.

BMBR 2092 : Kesusasteraan Bahasa Melayu dalam Pendidikan Bahasa Melayu

BMBR 2082 : Pentaksiran dalam Pendidikan Bahasa Melayu

BMBR 2063 : Pengajian Kurikulum dalam Bahasa Melayu

Selesai taklimat ini, kami diberi rehat 1 jam. Bolehlah duduk-duduk kejap sambil baca buku sebelum mula semula taklimat. Tepat jam 2.30 petang, kami dapat video taklimat seterusnya iaitu Taklimat Praktikum. Taklimat ini memfokuskan kepada latihan mengajar yang merupakan komponen wajib dalam program Pendidikan Guru. Kami perlu standby untuk melalui hari-hari praktikum kami pada semester terakhir.

Akhir sekali, Taklimat Sistem Maklumat Pelajar. Kami perlu log in ke website ini dan isi maklumat kami.

Sistem Maklumat Pelajar

Sebagai pelajar baharu, kami perlu mengisi kesemua butiran berdasarkan arahan yang diberi. Kalut juga masa nak isi ni padahal manual sudah diberi. Ada-ada sahaja soalan yang ditanya. Semua orang sporting dan saling membantu. Alhamdulillah, semua butiran dapat diisi dan disimpan dengan sebaiknya. Tepat jam 4.30, taklimat kami pun selesai.

Perkara yang saya belajar pada hari ini ialah sikap kebersamaan antara kami semua pelajar dan saling bantu-membantu. Tak semua guru berada di tempat yang mempunyai capaian internet yang baik jadi bila ada yang tolong masukkan video dalam group, bagi link dalam group, link untuk tukar jpeg ke jpg pun ada yang beri. Begitulah kami warga IPG KTHO. No one left behind. 

Terima kasih juga kepada Encik Rohaizan yang budiman. Beliau banyak membantu kami sepanjang proses untuk mendaftar sebagai pelajar IPG KTHO.

Sekian sahaja daripada saya. Esok sambung untuk taklimat hari kedua. Bye -bye.




Thursday, June 3, 2021

Hi, saya Cikgu Aishah. Salam perkenalan

Assalamulaikum dan selamat sejahtera semua. 

Saya, Aishah Jamal merupakan seorang guru yang bertugas di SJK(C) Thai Hong Skudai. Di sekolah, ada murid yang panggil saya Cikgu, Teacher, Laoshi pun ada juga. Saya terima panggilan itu seadanya. Saya tahu lama-lama mereka akan faham sendiri. Majoriti murid-murid panggil saya dengan panggilan "Cikgu". Lama kelamaan,yang lain pun  mula ikut juga. 

Saya posting di sekolah ini pada pertengahan tahun lepas, Jun 2020. Hari pertama saya datang ke sekolah, saya berjumpa dengan  Guru Besar, Guru-Guru Penolong Kanan dan AKP. Ketika itu, PKP 1.0. Nanti saya akan ceritakan pengalaman pertama saya datang ke sekolah baharu.

Sebelum saya bergelar guru di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), saya mengajar di sebuah sekolah swasta di Shah Alam. Saya mula berkhidmat pada pertengahan tahun 2018 hingga awal tahun 2020. Hampir 2 tahun juga saya mengajar di situ. Awal tahun 2020, saya dapat tawaran mengajar di KPM. Berat rasanya untuk meninggalkan sekolah SRIP. Banyak kenangan indah sepanjang saya mengajar di situ.

Bagaimana saya dapat jadi guru di KPM? Sebetulnya, saya tiada ihtisas pendidikan. Pada akhir tahun 2019, Pihak KPM memberi peluang kepada graduan yang tiada ihtisas pendidikan menjadi guru melalui program "GURU INTERIM". Saya dapat peluang berkhidmat sebagai guru melalui program ini. Perasaan bila berjaya temuduga dan bakal diberi penempatan memang membuatkan saya hampir melompat juga. Syukur tak terhingga. Berkat doa ibu bapa serta orang sekeliling akhirnya impian saya tercapai.

Tamat SPM, saya memang tekad nak jadi seorang guru bahasa Inggeris. Saya ingat lagi dibantu oleh Cikgu Jalaludin , Kaunselor SMK Pekan Bharu. Beliau bantu kami pilih bidang yang sesuai untuk kami sambung belajar. Saya mohon Asasi TESL sebagai pilihan pertama. Alhamdulillah selepas ditemuduga, saya dapat menjadi salah seorang pelajar di UiTM Shah Alam dalam bidang ini.

Namun, nasib tidak menyebelahi saya tidak dapat menyambung Ijazah dalam bidang yang sama oleh sebab keputusan yang tidak memberangsangkan. Hati ini tetap bersyukur kerana dapat sambung belajar dalam bidang Bahasa Melayu Komunikasi Professional juga di UiTM Shah Alam. Takdir saya menjadi guru dengan cara yang berbeza. Sungguh, Allah merancang dengan penuh kasih sayang. 

Sekarang saya nak cerita pengalaman saya dalam bidang penulisan. Sebenarnya, saya sudah mula tulis blog sejak  tamat belajar di peringkat Ijazah. Malangnya, saya tidak konsisten, selalu sangat culas untuk terus menulis di platform ini. Sekarang, saya tekad nak cuba sedaya upaya untuk berkongsi pandangan dan pengalaman kepada mereka yang berkongsi minat yang sama.

Saya minat menulis sejak dari bangku sekolah lagi. Mula menulis dalam diari. Bukan itu sahaja, saya siap tulis novel cinta merapu berdasarkan lagu "Love Story" dendangan Taylor Swift. Lagu itu menjadi fenomena pada tahun 2010. Kami siap salin lirik lagu ini dalam buku tulis. Kenangan sungguh.

Awal 20 an, saya mula melibatkan diri dalam pertandingan penulisan puisi, cerpen dan pantun. Walaupun tak menang, tapi gembira sebab dapat menonjolkan bakat yang ada. Saya juga berjinak-jinak dalam penulisan antologi bersama penulis-penulis lain. Saya sudah ada 2 antologi iaitu, Ruang Sujud dan Memori Dari Hati. Kini, saya rasa lebih yakin untuk menulis dan menyebarkan kebaikan kepada orang lain.

Di blog ini, saya akan berkongsi mengenai kehidupan sebagai seorang guru, perkongsian teknik pengajaran terutama yang melibatkan teknologi digital danperkongsian ilmu bahasa,. Kalau anda perasan, link blog ini ajteachstyle. AJ nama saya Aishah Jamal. Teach dan Style fokus kepada kaedah dan konten mengajar yang bersesuaian.

Begitulah. Saya harap blog ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca yang sukakan kandungan gaya pendidikan, kehidupan dan idea-idea menarik yang saya akan kongsikan nanti.

Terima kasih kerana sudi membaca entry pertama saya dalam blog ini. Doakan saya supaya konsisten untuk terus menulis.




30 Aktiviti Bahasa Melayu

Aktiviti Bahasa Melayu Interaktif 1. Cipta Lagu Peribahasa – Bahagikan murid kepada kumpulan dan tugaskan mereka mencipta lirik lagu menggun...