Wednesday, January 29, 2025

6 Cara Menarik Minat Murid Menulis Karangan dengan Kreatif

6 Cara Menarik Minat Murid Menulis Karangan dengan Kreatif

Penulisan karangan sering dianggap sebagai tugasan yang membosankan oleh murid kerana keterbatasan idea dan tiada minat menulis. Dapat je kerja rumah atau latihan menulis karangan, ada yang akan mula merungut dan memilih untuk tak nak buat sebab tak tahu buat.

Namun, sebagai guru, saya percaya bahawa menulis adalah satu bentuk ekspresi diri dan mesti dipelajari oleh semua murid. Pendekatan dan teknik yang diajar perlulah merangsang minat mrid untuk berasa seronok ketika menulis dan menjadikan mereka lebih kreatif dalam menghasilkan penulisan.

Berikut adalah beberapa teknik yang boleh digunakan dalam kelas bagi menjadikan penulisan sesuatu yang menyeronokkan, bermakna, dan kreatif.

1. Gunakan Gambar atau Video sebagai Pencetus Idea

Boleh dikatakan murid sukar menulis kerana mereka tidak tahu bagaimana nak mula tulis? Apa yang kena tulis? Oleh itu, bahan-bahan seperti gambar, video pendek, atau ilustrasi menarik boleh membantu mereka membayangkan situasi atau cerita yang ingin ditulis.

Sebagai contoh:

1.Tunjukkan gambar suasana pasar yang sibuk dan minta mereka menulis cerita berdasarkan apa yang mereka lihat dan dengar.

2. Gunakan klip video tanpa suara dan minta mereka cipta dialog sendiri.

Kaedah ini membantu murid merangsang imaginasi mereka dan memberi mereka titik permulaan untuk menulis.

2. Teknik "Sambung Cerita"

Salah satu aktiviti kegemaran murid ialah "Sambung Cerita", mereka perlu menulis secara berkumpulan.

Caranya:

1. Setiap murid menulis satu perenggan permulaan.

2. Kemudian, mereka beri kertas dengan rakan sebelah untuk menyambung cerita tersebut.

3. Proses ini diteruskan sehingga semua murid dalam kumpulan selesai menulis.

Hasilnya sering kali menarik dan lucu, dan murid seronok melihat bagaimana cerita mereka berubah mengikut imaginasi rakan-rakan mereka.

3. Gunakan Permainan Bahasa untuk Memupuk Minat Murid

Permainan bahasa secara interaktif atau hands on amat menyeronokkan. Murid-murid selalunya akan ternanti-nanti adakah guru akan buat aktiviti seperti ini lagi pada masa akan datang. Tidak dinafikan bahawa permainan bahasa dapat membantu murid berfikir secara kreatif.

Contoh-contoh permainan bahasa :

1.Cerita 3 Kata – Murid diberi tiga perkataan rawak (contoh: payung, burung hantu, ais krim) dan mereka perlu mencipta cerita yang mengandungi perkataan tersebut.

2.Watak & Situasi – Murid mencabut kad yang mengandungi watak (contoh: seorang penyiasat) dan situasi (contoh: mencari kucing yang hilang) lalu menulis cerita berdasarkan gabungan tersebut.

Permainan ini bukan sahaja menyeronokkan, tetapi juga melatih minda mereka untuk berfikir secara spontan dan kreatif.

4. Galakan Menulis Mengenai Diri Mereka Sendiri

Kadangkala, murid lebih mudah menulis apabila mereka boleh berkait dengan topik yang diberikan.

Saya sering meminta mereka menulis tentang:

Pengalaman peribadi yang menyeronokkan (contoh: kali pertama naik kapal terbang).

Impian mereka pada masa hadapan (contoh: jika saya menjadi angkasawan).

Seseorang yang mereka kagumi (contoh: ibu, ayah, atau seorang tokoh terkenal).

Menulis tentang diri sendiri memberi mereka rasa kepunyaan terhadap cerita dan menjadikan mereka lebih bersemangat untuk berkongsi pandangan mereka.

5. Beri Ruang untuk Kebebasan dan Ekspresi Diri

Kadangkala, kita terlalu memberi format yang ketat kepada murid, sehingga mereka berasa menulis itu adalah sesuatu yang penuh dengan peraturan dan batasan.

Sebagai alternatif:

Biarkan mereka memilih genre yang mereka suka (contoh: cerita seram, fiksyen sains, kisah pengembaraan).

Gunakan teknik penulisan bebas – beri mereka 10 minit untuk menulis tanpa perlu risau tentang tatabahasa atau struktur, hanya fokus kepada idea.

Dengan cara ini, mereka dapat menulis dengan lebih santai dan menikmati proses penulisan itu sendiri.

6. Beri Penghargaan dan Paparkan Hasil Penulisan Murid

Murid akan lebih bersemangat untuk menulis jika mereka merasakan usaha mereka dihargai. Saya suka menggunakan cara berikut:

Memaparkan hasil kerja terbaik di papan kenyataan kelas.

Membaca cerita murid yang menarik di hadapan kelas.

Membuat "Buku Kumpulan" – di mana setiap murid menyumbang satu cerita pendek dan kita jadikan ia satu koleksi khas.


No comments:

Post a Comment

30 Aktiviti Bahasa Melayu

Aktiviti Bahasa Melayu Interaktif 1. Cipta Lagu Peribahasa – Bahagikan murid kepada kumpulan dan tugaskan mereka mencipta lirik lagu menggun...